49 buah sekolah Parlimen PD terima ‘smartboard’
PORT DICKSON: Sebanyak 49 buah sekolah di Parlimen Port Dickson menerima sumbangan ‘smart Board’ daripada Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Aminuddin berkata, ‘smart board’ tersebut yang berukuran 75″ itu sudah pasti dapat membantu sesi pembelajaran lebih menarik bagi para pelajar.
“Lebih membanggakan lagi, Port Dickson menjadi Parlimen pertama menyumbangkan ‘smart board’ kepada semua sekolah di kawasan Parlimen.
“Dalam majlis sama, saya turut memberikan sumbangan kewangan kepada para pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di sekitar Port Dickson.
“Seramai 140 orang pelajar menerima sumbangan bernilai RM200 hingga RM600 di mana mereka memperoleh keputusan 6A dan ke atas.
“Pengiktirafan dan penghargaan sebegini sudah pasti melonjakkan lagi motivasi para pelajar untuk berjaya ke peringkat seterusnya.
“Saya juga berharap agar kanak-kanak yang telah berjaya kelak akan kembali menyumbang secara proaktif kepada negeri yang tercinta ini sama ada dalam bentuk idea, tenaga, wang ringgit mahupun masa agar kita terus sama-sama membangunkan Negeri Sembilan tercinta ini,” kata Aminuddin.