SEREMBAN: Sebanyak 62 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi dan dibuka untuk orang ramai di seluruh Negeri Sembilan.
Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Dato’ Mohd Faizal Ramli berkata, dengan pertambahan 11 NADI baharu menjadikan 62 NADI tersedia untuk dimanfaatkan oleh komuniti bagi meningkatkan taraf hidup, memperkasakan kemahiran diri dan menjadi masyarakat yang lebih proaktif dan inovatif.
Faizal berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian NADI Sikamat yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bagi inisiatif pelaksanaan 11 NADI baharu Peringkat Negeri Sembilan.
“Suasana meriah dengan pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk pendaftaran ahli baharu NADI, NADI X Well-Being, STEM eKelas dan Kelas Mikrobit yang dihadiri oleh para pelajar sekitar Sikamat, pembukaan reruai Usahawan NADI dan reruai Klik Dengan Bijak (KDB).
“Seramai 45 Sukarelawan MIV telah menerima sijil penghargaan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kesukarelawan sepanjang tempoh tiga bulan.
“Program Pemerkasaan Sukarelawan MIV Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan pada 28 sehingga 29 Ogos 2024.
“Syabas saya ucapkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di atas initiatif ini.
“Semoga kolaberasi bersama ini menjadi asas kepada pembangunan pendigitalan Negeri Sembilan,” kata Faizal.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim; Pengarah Negeri MCMC Negeri Sembilan, Ts.Md Tahir Musa; Pengarah Kanan, MCMC Wilayah Selatan, Mohamad Rizal Ahmad dan Ketua Pegawai Hal Ehwal MCMC Negeri Sembilan, Bukhari Yahya.