78 pesalah jalani khidmat masyarakat, kerajaan perhebat usaha banteras sampah sarap

PUTRAJAYA: Seramai 78 pesalah telah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 29 Mac 2026, atas kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan PKM ini merupakan sebahagian daripada strategi penguatkuasaan bersepadu kerajaan bagi membanteras amalan pembuangan sampah di merata-rata tempat, khususnya di kawasan awam.
Menurut beliau, program tersebut memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh yang melibatkan siar kaki, jalan awam, sistem saliran, tandas awam serta kawasan pantai.
“Tangan yang membuang sampah, tangan tersebut yang perlu membersihkan,” katanya dalam satu kenyataan.
PKM itu dilaksanakan secara serentak di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor sebagai langkah meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) setakat ini, melibatkan 1,058 warganegara tempatan dan 284 warganegara asing.
Nga turut menegaskan bahawa kegagalan membendung tabiat membuang sampah kecil boleh membawa kepada masalah lebih besar, termasuk longkang tersumbat yang menjejaskan keselesaan komuniti serta meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan bandar.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuang puntung rokok, tisu atau tin minuman di merata-rata tempat kerana perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh menjejaskan imej negara.



