81 penduduk Melayu Gemas dapat lot tanah untuk bina rumah

GEMAS: Sebanyak 81 keluarga Melayu dari kawasan sekitar Gemas menerima lot tanah seluas 5,000 hingga 6,000 kaki persegi bagi tujuan mendirikan kediaman.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Majlis Penyampaian Hakmilik Muktamad Kampung Ulu Ladang, Gemas adalah satu sejarah bagi Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Sembilan kerana usaha ini telah bermula sejak 18 Mei 2022 lagi apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan telah membuat keputusan agar permohonan pemberimilikan tanah kerajaan oleh individu dibuka semula setelah tujuh tahun dibekukan.
Ini membolehkan permohonan tanah seluas lebih kurang 22 ekar di Kampung Ulu Ladang dijadikan sebagai lokasi pertama bagi usaha murni ini.
“Sebanyak 848 permohonan telah diterima oleh Pejabat Daerah Kecil dan Tanah Gemas melalui sesi iklan yang telah dibuka mulai 1 sehingga 30 November 2022.
“Setelah disaring berdasarkan kelayakan yang ditetapkan dan seterusnya melalui sesi temuduga, sebanyak 81 permohonan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dikenakan premium tanah pada kadar nominal iaitu RM1.00 per kaki persegi.
“Hari ini kita sedang melihat bagaimana isu pemilikan tanah yang penuh dengan pertikaian.
“Lebih-lebih lagi yang melibatkan bangsa Melayu. Walaubagaimanapun, langkah cermat yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri ini adalah bagi membuktikan bahawa komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan peluang untuk rakyat dalam memiliki tanah untuk dibangunkan rumah sebagai aset mereka khususnya orang Melayu,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyampaian Hakmilik Muktamad Kampung Ulu Ladang, Gemas.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tampin, Mohd Fadhil Hassan dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Gemas, Hazwani Ahmad.