YB Kita

880 murid sertai Kejohanan Merentas Desa Daerah Jempol

JEMPOL: Seramai 880 murid daripada 70 buah sekolah di seluruh Daerah Jempol menyertai Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah Jempol 2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Laksamana, SMK Alam Beraja disini.

Kejohanan ini melibatkan 18 sekolah menengah, 32 Sekolah Kebangsaan, lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta sebuah sekolah swasta. Program dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Jempol dengan kerjasama SMK Alam Beraja dan SK (Felda) Palong 9.

Majlis penutup disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mustapha bin Nagoor yang turut menyampaikan sumbangan RM3,000 bagi membantu penganjuran kejohanan tersebut.

Menurut beliau, penganjuran program sebegini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat sukan dalam kalangan murid malah turut membantu membentuk disiplin diri, gaya hidup sihat serta menyemai semangat kesukanan dan perpaduan sejak usia muda.

“Program seperti ini amat penting untuk pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi. Ia juga membantu melahirkan generasi muda yang sihat, berdaya saing dan berdisiplin,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan dalam majlis penutup.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong program-program pembangunan belia dan sukan bagi memastikan generasi muda Negeri Sembilan memiliki peluang sama rata untuk menonjolkan bakat sukan mereka.

Beliau turut berharap kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform bagi murid menunjukkan kemampuan fizikal tetapi juga dapat membina semangat kesukanan, kerjasama dan perpaduan di kalangan pelajar seluruh Daerah Jempol.

Show More

Related Articles

Back to top button