Aishah hulur Bantuan Anak Sekolah kepada 106 pelajar kurang kemampuan
GEMAS: Penyelaras DUN Gemas, Puan Siti ‘Aishah Seman menyampaikan Bantuan Anak Sekolah (BAS) kepada 106 orang pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di DUN Gemas.
“Bantuan Anak Sekolah merupakan inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bagi membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.
“Ia bertujuan meringankan beban ibubapa yang menanggung kos persekolahan anak-anak ini.
“Hari ini kita telah serahkan bantuan Fasa 1 sebanyak RM300. Pada bulan Oktober nanti, RM250 di bawah Fasa 2 akan diagihkan kepada pelajar yang sama.
“Secara keseluruhannya kesemua 106 pelajar ini akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM550 untuk tahun ini,” jelas Siti Aishah.
Menurut Siti Aishah, beliau pergi dari rumah ke rumah dan menyerahkan sendiri bantuan kewangan kepada pelajar tersebut sambil meninjau keadaan keluarga mereka.
“Ada sebahagian keluarga pelajar ini yang terputus bekalan makanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
“Ada juga ibubapa mereka yang masih tidak boleh bekerja dan mengeluh untuk membeli nilai tambah internet (top-up) untuk Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) anak.
“Diharapkan dengan sedikit bantuan insentif ini, ianya dapat menampung kos pembelajaran mereka termasuk pembelajaran PdPR dengan selesa,” kata Siti Aishah.