YB Kita

MK Ibrahim santuni bekas atlet renang paralimpik

SEREMBAN: Pusat Khidmat Rakyat DUN Paroi meneruskan komitmen terhadap kebajikan komuniti setempat melalui satu kunjungan kasih ke rumah bekas atlet renang paralimpik, Zul Amirul Sidi Abdullah, 53, yang menetap di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi (PPR Paroi).

Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat DUN Paroi, Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman diwakili pegawainya, Bee Sham, bersama Ketua KRT PPR Paroi, Seti Maimunah telah melawat Zul Amirul Sidi.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyantuni individu berkeperluan dan menilai sokongan tambahan yang boleh disalurkan.

“Saudara Zul Amirul bukan sekadar bekas atlet, beliau adalah simbol semangat, daya juang dan kebanggaan masyarakat Paroi.

“Pusat Khidmat Rakyat DUN Paroi akan terus memainkan peranan dalam membantu golongan seperti beliau agar tidak terpinggir,” ujar Bee Sham.

Dalam pada itu, Seti berkata, pihak KRT telah lama mengenal pasti keperluan Zul Amirul dan telah memberikan sokongan secara berterusan.

Namun, katanya, banyak usaha di peringkat komuniti ini sering tidak diketengahkan kepada umum.

Zul Amirul kini menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pernah menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Yayasan Rizalman sejak Februari 2024 hingga Februari 2025.

Sebelum ini, beliau juga pernah menerima bantuan sumbangan daripada Baitulmal dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menampung keperluan harian.

Kunjungan ini membuka ruang untuk Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Paroi meneliti bentuk bantuan tambahan termasuk dari aspek kesihatan, kebajikan dan sokongan sosial.

Dalam pada itu, MK Ibrahim menegaskan bahawa pusat khidmat rakyat beliau sentiasa terbuka untuk menyantuni dan membantu semua golongan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik.

“Kita tidak menunggu kamera untuk bekerja.

“Tetapi jika menunjukkan kerja yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kita benar-benar berkhidmat, maka inilah buktinya,” kata MK Ibrahim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button