Bangunan baharu UDA di Kuala Klawang, bakal beri nilai tambah ekonomi setempat

JELEBU: Empat tahun menunggu, akhirnya projek pembinaan bangunan dua tingkat UDA Holdings Berhad di Kuala Klawang menampakkan sinarnya.
Bermula acara pecah tanah pada 22 Februari 2021, bangunan yang saya sendiri usahakan semasa menjadi Pengerusi UDA Holdings dulu telah menemui pelbagai dugaan dan cabaran untuk membinanya.
Tidak perlu saya huraikan sebab-sebabnya, namun niat saya untuk melihat satu lagi pembangunan infrastruktur dibina di Klawang hampir gagal.
Pun begitu, saya tidak mahu mengalah dan berdiam diri.
Berkat kesabaran, iltizam dan bantuan ramai pihak, akhirnya kita berjaya melepasi pelbagai cabaran dan permasalahan yang berbangkit.
Akhirnya pada 15 Mac 2025 iaitu selepas empat tahun 20 hari, satu lawatan ke tapak telah diadakan bersama pemilik tanah iaitu Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu Berhad.
Ia merupakan permulaan kepada kerja-kerja pembinaan dan pelaksanaan projek yang menerima peruntukan daripada UDA Holdings sebanyak RM1.79 juta, dengan keluasan 6,666.52 kaki persegi.
Insya Allah, ia bakal memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya ahli-ahli koperasi berkenaan.
Selaku bekas Pengerusi UDA Holdings Berhad, saya rasa sedikit lega dengan perkembangan ini.
Tiada niat lain dalam mengusahakan bangunan tersebut, melainkan untuk melihat Jelebu ini dipenuhi dengan pelbagai kemudahan yang memanfaatkan penduduk setempat dari semasa ke semasa.
Selaku Ahli Parlimen Jelebu, saya berharap bangunan yang akan siap dibina nanti dapat memberi nilai tambahan kepada aktiviti ekonomi penduduk setempat, seperti yang saya sebutkan dalam ucapan saya di majlis pecah tanah empat tahun yang lalu, Insya Allah.
Terima kasih UDA Holdings Berhad, terima kasih Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu dan semua pihak, termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan atau KUSKOP.
Dato’ Seri Jalaluddin Alias
Ahli Parlimen Jelebu
EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi
EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang