Berita

Malaysia tidak akan kenakan tarif timbal balas ke atas Amerika Syarikat

PUTRAJAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kerajaan Malaysia tidak akan mengenakan tarif timbal balas ke atas Amerika Syarikat.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus berunding dengan Amerika Syarikat, mempergiat usaha mempelbagaikan pasaran eksport, dan mempercepatkan reformasi ekonomi domestik.

“Kita tidak akan mengenakan tarif timbal balas, tetapi fokus pada melindungi kepentingan negara.

‘Ekonomi global memang tidak menentu, tetapi Malaysia kekal teguh.

“NGCC akan memacu pelaksanaan langkah-langkah penting ini, dengan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

“MITI sentiasa memantau rapi situasi ini dan memastikan ekonomi kita terus berdaya saing untuk jangka masa Panjang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pemandu NGCC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberi tumpuan kepada strategi Malaysia dalam menangani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat terhadap eksport dan pelaburan negara.

“Sebagai langkah susulan, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas NGCC akan diadakan tidak lama lagi.

“Pasukan Petugas ini akan merangkumi wakil MITI, MIDA, MATRADE, serta pemimpin industri, ahli ekonomi dan pakar dasar.

“Mandat utama mereka adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan cadangan NGCC, termasuk memperkukuh daya tahan perdagangan negara, merangka tindak balas dasar terhadap risiko geopolitik semasa, serta melindungi kepentingan ekonomi dan pekerjaan rakyat Malaysia.

“Komposisi yang merangkumi sektor awam dan swasta ini penting untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan dasar kerajaan dan realiti semasa.

“Saya akan terus maklumkan perkembangan lanjut dari Pasukan Petugas ini dalam masa terdekat,” jelas Tengku Zafrul.

Show More

Related Articles

Back to top button