Aminuddin tegas terhadap penceroboh tanah

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menasihatkan semua pihak agar menghormati peraturan dan undang-undang melibatkan penggunaan tanah kerajaan untuk apa jua tujuan.
“Perlu sensitif apabila mendirikan rumah ibadat (bukan Islam) atau pembinaan bangunan, perlu semak terlebih dahulu dengan pejabat tanah mengenai status tanah tersebut.
“Begitu juga bagi mereka yang mengusahakan tanah simpanan kerajaan (government reserve land) dengan tanaman seperti durian, kelapa sawit atau getah, Kerajaan Negeri mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
“Orang Melayu pun ada, orang Cina pun ada, orang India pun ada tapi yang paling ramai mohon ialah orang Melayu.
“Jangan jadikan isu perkauman pula,” kata Aminuddin.
Aminuddin menambah, individu yang mengusahakan tanaman ini dengan pengetahuan pejabat tanah dan daerah.
“Apabila pengusaha mengeluarkan hasil, Kerajaan Negeri juga mendapat hasil menerusi LPS.
“Saya tidak mahu komen pendekatan negeri lain tapi itu lah pendekatan Kerajaan Negeri Sembilan.
“Sebab itu saya menasihatkan kepada semua pihak agar menghormati peraturan dan ikut saluran yang betul,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Dalam pada itu Aminuddin turut mengulas isu pencerobohan tanah di Kuala Pilah yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Saya harap rakyat memahami, bukan boleh ceroboh begitu sahaja.
“Kita ada peraturan dan undang-undang tetapi kita cuba harmonikan.
“Kita cuba selesaikan isu ini secara baik, cuma ambil masa sedikit kerana isu ini masih dalam siasatan.
‘Apabila kes dalam siasatan, tak kan nak lepaskan bahan bukti.
“Nanti akan timbul isu kenapa orang itu boleh, orang ini tak boleh pada masa akan dating,” jelas beliau.
Menurut Aminuddin lagi, bukan semua kes pencerobohan tanah di bawa ke mahkahmah.
“Ada kes kita kompaun sahaja, tunggulah kita keluarkan kompaun.
“Tak adalah kita zalim sangat.
“Kalau dah masuk reserve sungai yang di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB), macam mana tidak diambil tindakan?
“Kalau tebing sungai rosak (berlaku runtuhan), siapa nak bertanggungjawab?
“Oleh itu ikutlah peraturan dan undang-undang sedia ada agar tidak berlaku masalah di kemudian hari,” kata Aminuddin lagi.