Berita

Jasa Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pembaharuan sektor pertanian Malaysia

Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima yang memegang jawatan dari tahun 2003 hingga 2009, telah meninggalkan legasi yang besar dalam sektor pertanian negara.

Di bawah pentadbiran beliau, sektor pertanian yang sebelum ini kurang diberi keutamaan telah dikembalikan sebagai salah satu teras utama pembangunan negara.

Pendekatan beliau yang bersifat holistik dan berasaskan prinsip pembangunan mampan telah membawa banyak pembaharuan penting yang memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan, kesejahteraan luar bandar serta daya saing industri pertanian secara keseluruhan.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Program ini diwujudkan untuk memastikan kawasan pertanian dilindungi daripada tekanan pembangunan bandar dan dikekalkan untuk tujuan pengeluaran makanan.

Melalui TKPM, tanah yang diperuntukkan disokong dengan infrastruktur moden dan kemudahan pertanian bagi membolehkan pengusaha meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka secara mampan.

Selain itu, Tun Abdullah juga telah melancarkan Program Bumi Hijau pada tahun 2005.

Program ini bertujuan menggalakkan rakyat bercucuk tanam di kawasan kediaman, sekolah dan tanah terbiar sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup serta memupuk semangat kendiri dalam kalangan masyarakat.

Ia menjadi salah satu strategi komuniti untuk menyokong keselamatan makanan negara dari peringkat akar umbi.

Dalam usaha memperkukuh jaminan keselamatan makanan, Tun Abdullah memberi tumpuan kepada peningkatan tahap sara diri (self-sufficiency level, SSL) negara dalam pengeluaran makanan asas seperti beras, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Langkah ini diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan keupayaan negara menangani sebarang krisis bekalan makanan global.

Peruntukan besar turut diberikan kepada sektor ini dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bermula pada tahun 2006. Lebih RM4.4 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai projek pertanian, termasuk pembinaan infrastruktur, sistem pengairan, latihan dan perkhidmatan sokongan kepada petani.

Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memodenkan sektor pertanian agar setanding dengan negara-negara maju lain.

Satu lagi pencapaian penting semasa pentadbiran Tun Abdullah ialah pelancaran Dasar Bioteknologi Negara (DBN) pada tahun 2005.

Dasar ini bertujuan meneroka potensi bioteknologi dalam meningkatkan hasil dan kualiti pengeluaran pertanian melalui penyelidikan, inovasi dan penggunaan teknologi canggih.

Sektor pertanian merupakan antara tumpuan utama dalam dasar ini, sejajar dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi rantau Asia Tenggara.

Program Agropolitan pula diperkenalkan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan sosial kawasan luar bandar, terutamanya dalam kalangan masyarakat miskin.

Melalui program ini, aktiviti pertanian berskala besar dilaksanakan dengan sokongan latihan, pembiayaan serta bantuan teknikal untuk membantu penduduk setempat keluar daripada kitaran kemiskinan.

Tun Abdullah juga dikenang sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan” apabila beliau memberi penekanan besar kepada latihan dan pembangunan kemahiran dalam kalangan petani, usahawan tani dan golongan belia.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk menjadikan pertanian sebagai bidang yang moden, profesional dan menarik kepada generasi baharu.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan besar dalam memperkukuh industri halal Malaysia sehingga menjadi peneraju global.

Ekosistem halal yang dibangunkan ketika itu merangkumi sektor pertanian, khususnya pengeluaran makanan halal yang membuka peluang besar untuk pasaran eksport dan pembangunan agro makanan bernilai tinggi.

Pentadbiran Tun Abdullah turut menyaksikan pelancaran beberapa koridor ekonomi wilayah seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Koridor ini menggabungkan pembangunan wilayah dan pertanian dengan menekankan kepada agroindustri berskala besar, pemprosesan makanan dan penglibatan komuniti tani secara menyeluruh.

Kesemua inisiatif dan dasar ini memperlihatkan wawasan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam menjadikan sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, alat pembasmian kemiskinan dan pemacu kepada kesejahteraan rakyat.

Sumbangan beliau kekal relevan hingga ke hari ini dan menjadi asas penting kepada dasar serta inisiatif pertanian negara yang sedang dilaksanakan.

Al-Fatihah dan setinggi penghargaan buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan khidmat bakti beliau yang tidak ternilai kepada sektor pertanian Malaysia.

Dato’ Seri Mohamad Sabu
Dato’ Arthur Joseph Kurup
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Show More

Related Articles

Back to top button