Berita

Saifuddin Nasution ingatkan ibubapa jangan lengah daftar kelahiran anak

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan ibubapa dan penjaga supaya tidak mengambil mudah urusan pendaftaran kelahiran anak kerana kelewatan berbuat demikian boleh memberi kesan besar terhadap masa depan seseorang.

Beliau berkata, pendaftaran kelahiran merupakan perkara asas yang perlu diberi perhatian sejak awal bagi mengelakkan pelbagai kesulitan pada masa hadapan.

“Kelewatan mendaftarkan kelahiran sering menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk urusan dokumentasi dan pengiktirafan status kewarganegaraan.

“Perkara yang nampak asas ini sebenarnya membawa kesan besar kepada masa depan seseorang jika tidak diurus dengan betul sejak awal,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin berkata, terdapat keadaan di mana kanak-kanak terpaksa melalui proses tambahan yang panjang hanya untuk mendapatkan pengiktirafan asas sebagai warganegara, sedangkan perkara itu boleh dielakkan sekiranya pendaftaran kelahiran dilakukan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar tidak menunggu sehingga timbul masalah sebelum mengambil tindakan.

“Apabila pendaftaran kelahiran dibuat lewat, biasanya akan timbul pelbagai kesulitan kemudian hari.

“Lebih membimbangkan, ada keadaan di mana anak-anak terpaksa melalui proses tambahan yang panjang hanya untuk mendapatkan pengiktirafan asas sebagai warganegara,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ibu bapa dan penjaga memastikan setiap kelahiran didaftarkan seawal mungkin bagi menjamin kelancaran urusan serta masa depan anak-anak.

“Pastikan setiap kelahiran didaftarkan seawal mungkin mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Jangan tunggu sehingga timbul masalah baharu kita bertindak.

“Daftar awal, lebih mudah urusan, lebih terjamin masa depan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button