Berita

Malaysia Sasar Eksport Halal RM80 Bilion Menjelang 2030

SEREMBAN: Malaysia menyasarkan peningkatan nilai eksport halal sehingga RM80 bilion menjelang tahun 2030 menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030 (Halal Industry Master Plan 2030) bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab halal global.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, sasaran tersebut merupakan antara tiga indikator utama yang ditetapkan kerajaan dalam usaha memperkasakan industri halal negara di peringkat antarabangsa.

“Selain peningkatan eksport, pelan tersebut turut menyasarkan sumbangan industri halal sehingga 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan sehingga 690,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Kita menyatakan tiga sasaran utama menerusi Halal Industry Master Plan 2030. Yang pertama, pertumbuhan sehingga 11 peratus KDNK.

“Yang kedua, penambahan nilai eksport sehingga RM80 bilion dan yang ketiga, peluang pekerjaan meningkat sehingga 690,000 kepada rakyat Malaysia.

“Itulah yang kita harapkan daripada Halal Industry Master Plan 2030 agar Malaysia menjadi sebuah hab halal global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Negeri Sembilan Mengenai Halal dan Ekosistem Kelestarian di sini hari ini.

Menurutnya. pertumbuhan industri halal tidak seharusnya dilihat dari sudut keuntungan dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Kita harapkan kerjasama ini dapat diperluaskan bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada negara, tetapi juga memberikan lebih banyak kebaikan kepada masyarakat dan rakyat.

“Kita faham apabila industri halal ini semakin berkembang, maka impaknya juga dapat dirasai oleh rakyat melalui penambahan peluang pekerjaan dan pelbagai manfaat lain,” tambah.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan penglibatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam membantu memperkukuh ekosistem industri halal negara melalui penyelidikan dan pembangunan.

“Kita sangat mengalu-alukan penglibatan IPTA dan IPTS kerana kita memerlukan kajian-kajian daripada pihak akademia.

“Dalam industri halal ini, kita bukan hanya bergantung kepada konsep keuntungan atau ekonomi semata-mata, tetapi bagaimana pihak pendidikan dan penyelidikan dapat menyumbang kepakaran serta kemahiran mereka untuk memperkasakan lagi industri halal negara,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri telah menyediakan kawasan industri yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor halal negara.

Menurutnya, pembangunan tersebut tidak hanya tertumpu kepada industri makanan, malah melibatkan sektor kosmetik, farmaseutikal dan produk kesihatan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran global.

“Kita memang ada menyediakan satu kawasan industri yang bukan sahaja tertumpu kepada makanan, tetapi juga kosmetik, farmaseutikal dan banyak produk yang melibatkan kesihatan yang harus kita teroka.

“Kita rasa bahawa negeri ini merupakan tempat yang baik untuk menarik pelaburan tersebut daripada seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan makmal halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Negeri Sembilan turut menjadi faktor penting dalam menarik pelabur asing kerana mampu memudahkan urusan persampelan dan pensijilan produk.

“Kita nampak Jakim juga menyediakan satu makmal di Negeri Sembilan yang telah menarik pelabur-pelabur luar negara datang kerana ini akan memudahkan persampelan mereka dan memudahkan untuk mereka menjalankan perniagaan mereka di negara ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button