BeritaYB Kita

Flat Taman Desa Mantin terima peruntukan RM730,000 untuk naik taraf kemudahan

NILAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata Flat Taman Desa Mantin yang telah berusia hampir 30 tahun bakal menerima wajah baharu menerusi peruntukan berjumlah RM730,000 yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan.

Menurut beliau, flat berkenaan berdepan pelbagai masalah dan kerosakan sejak sekian lama kerana tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) yang berfungsi untuk menguruskan kawasan tersebut.

“Kebanyakan yang tinggal di sini adalah penyewa dan tidak ada kerjasama yang baik daripada semua pihak sehingga menyebabkan kawasan flat tersebut mempunyai pelbagai masalah dan kerosakan. Antara kerosakan yang teruk adalah kerosakan bumbung, susur tangan tangga, pendawaian elektrik, cat dan paip sanitari,” katanya.

“Usaha menubuhkan JMB telah dimulakan pada tahun lalu melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik rumah bagi membolehkan kawasan perumahan itu layak memohon bantuan dan peruntukan kerajaan.

“Untuk kawasan flat atau apartmen kos rendah dan sederhana, jika perlu memohon peruntukan daripada KPKT atau Kerajaan Negeri, perlu mempunyai JMB yang aktif. Atas sebab itu satu mesyuarat diadakan bersama beberapa pemilik pada hujung tahun lepas dan satu JMB telah berjaya diwujudkan,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, hasil penubuhan JMB tersebut, KPKT telah meluluskan peruntukan RM300,000 pada awal tahun ini bagi menaik taraf susur tangan dan sistem paip sanitari, manakala Kerajaan Negeri meluluskan RM430,000 pada April lalu untuk kerja-kerja menukar bumbung, menaik taraf pendawaian elektrik dan mengecat semula kedua-dua blok flat berkenaan.

“Flat tersebut telah berjaya menerima peruntukan sejumlah RM730,000 tahun ini sahaja dan lantikan kontraktor semua telah berjaya dilaksanakan serta kerja-kerja akan bermula tahun ini,” katanya.

Beliau yakin pelaksanaan projek itu akan meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk selain mengubah imej kawasan perumahan tersebut.

“Dengan siapnya semua kerja-kerja ini saya percaya flat yang berusia lebih 30 tahun ini akan menukar wajah baharu dan penduduk dapat tinggal dalam keadaan yang lebih baik, selesa dan selamat,” katanya.

“Dalam perkembangan sama, kadar pembayaran yuran penyelenggaraan bulanan sebanyak RM50 turut menunjukkan peningkatan selepas penubuhan JMB, dengan kutipan kini melebihi 50 peratus.

“Perkembangan itu mencerminkan keyakinan penduduk terhadap keupayaan JMB menguruskan kawasan perumahan berkenaan.

“Dengan siapnya semua kerja-kerja menaik taraf, saya percaya peratusan bayaran maintenance fee setiap bulan akan terus meningkat kerana pemilik mempunyai keyakinan terhadap JMB yang dapat berfungsi dan menguruskan flat itu dengan lebih baik,” ujar beliau.

Menurut Arul Kumar lagi, kejayaan Flat Taman Desa Mantin memperoleh peruntukan berkenaan membuktikan kepentingan JMB yang aktif dalam membantu kerajaan menyalurkan bantuan penyelenggaraan kepada komuniti perumahan kos rendah dan sederhana.

Katanya, sepanjang tahun lalu KPKT telah menyalurkan kira-kira RM11 juta bagi penyelenggaraan rumah flat dan apartmen kos rendah serta sederhana di negeri ini, manakala Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi tujuan sama.

Untuk tahun ini pula, setakat ini Kerajaan Negeri telah meluluskan RM2 juta manakala KPKT meluluskan kira-kira RM3 juta bagi membantu menaik taraf kemudahan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan perumahan berstrata.

Show More

Related Articles

Back to top button