SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud telah berkenan mencemar duli berangkat ke Perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1446 Hijrah bersamaan 2024 Masihi di Seremban.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Datoβ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, menepati tema Maulidur Rasul pada tahun ini βAl-Falah Pemacu Malaysia Madaniβ, kita perlu mendoakan pasukan kepimpinan negara dan negeri ini berjaya membina jiwa rakyat yang merdeka, cerdas, bermaruah, berilmu, beriman dan bertaqwa yang merupakan sebahagian daripada ciri-ciri Al-Falah.
“Menerusi konsep Al-Falah, kita seharusnya menerajui pembinaan watak bangsa berkualiti yang pelbagai dalam bingkai kesatuan dengan meninggikan martabat kemanusiaan (Human Dignity atau Karamah Insaniyyah) dalam kehidupan bernegara,” kata Aminuddin.
Menurut Aminuddin, perarakan tahun ini disertai oleh 70 kontinjen melibatkan lebih kurang 5,000 peserta daripada segenap lapisan masyarakat.
“Selain agensi kerajaan, badan swasta, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta sekolah, masyarakat bersama keluarga dan golongan kurang upaya (OKU) turut sama memeriahkan perarakan Maulidur Rasul pada tahun ini.
“Lebih menarik bagi perarakan tahun ini salah satu kontinjen terdiri daripada masyarakat orang Asli Negeri Sembilan juga bersama-sama kita dalam majlis pada hari ini.
“Semoga Allah SWT mencurahkan rahmat bahagia dan melimpahkan kurnia-Nya kepada negeri ini serta dijauhkan daripada segala mara bahaya, Insya-Allah,” kata Aminuddin.