Berita

Aminuddin lancarkan buku Surat Saidina ‘Ali kepada Al-Malik Asytar

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun telah melancarkan buku Surat Sayidina ‘Ali kepada Al-Malik Asytar, sebuah karya agung Islam yang menjadi rujukan penting dalam tadbir urus beretika dan berintegriti

Majlis pelancaran itu diadakan sempena Program Hadith 40 untuk Penjawat Awam Daerah Seremban di Masjid Negeri, Seremban.

Buku berkenaan mengandungi 18 tema utama yang diangkat daripada nasihat-nasihat Saidina ‘Ali kepada gabenornya, Al-Malik Asytar, mengenai nilai keadilan, amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Aminuddin berkata, karya ini menjadi panduan penting kepada para pemimpin dan penjawat awam dalam memahami erti sebenar kepimpinan berasaskan nilai Islam.

“Pesanan Saidina ‘Ali amat menyentuh hati.

“Antaranya ialah supaya kita bertaqwa kepada Allah dalam menguruskan golongan miskin, menunaikan hak-hak mereka dan melindungi mereka yang lemah.

“Pesanan tersebut menjadi sumber inspirasi kepada dasar-dasar Kerajaan Madani yang kini digerakkan di peringkat nasional dan negeri.

“Ia sejajar dengan iltizam Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang telah beberapa kali menekankan nilai besar dalam surat Saidina ‘Ali itu sejak 2022,” kata Aminuddin.

Beliau turut menyentuh pesanan lain daripada Saidina ‘Ali berkenaan tanggungjawab terhadap pengurusan kewangan dan hasil negara:

“Berhati-hatilah dalam urusan pentadbiran kewangan. Gunakan hasil bumi dengan berhemah dan pastikan kesejahteraan rakyat yang membayar cukai sentiasa dijaga.

“Melalui nasihat ini, Kerajaan Negeri Sembilan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif pembangunan tanah terbiar bagi dimanfaatkan untuk pertanian dan kesejahteraan masyarakat selaras dengan pendekatan Islamik dalam membina ekonomi yang lestari dan berkat,” tambahnya.

Aminuddin turut menyeru semua penjawat awam dan rakyat Negeri Sembilan agar menjadikan pesanan Saidina ‘Ali ini sebagai pedoman dalam kehidupan serta pekerjaan.

Show More

Related Articles

Back to top button