Menarik

Aminuddin mohon bina hospital baharu di Seremban

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan, untuk membina sebuah lagi hospital baharu di Seremban.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pembinaan sebuah hospital yang baharu di Seremban perlu bagi menampung kesesakan pesakit di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) yang merupakan hospital utama di negeri ini.

“Saya mohon kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan supaya dibina sebuah hospital baharu di Seremban.

“HTJS sedang dinaik taraf, berlakunya pengurangan bilangan katil sebanyak 16.5 peratus ataupun 188 unit berbanding bilangan katil 1,134 unit sebelum ini disebabkan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak BOMBA,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin juga berharap Kementerian Kesihatan mewujudkan Klinik Pakar Kardiologi di HTJS.

“Berdasarkan rekod, Negeri Sembilan adalah antara negeri yang masih bulam mempunyai perkhidmatan Kardiologi sepertimana Perlis, Melaka dan Labuan.

“Justeru itu, saya memohon kepada YB Menteri Kesihatan untuk mewujudkan Klinik Pakar Kardiologis di HTJS bagi memudahkan rakyat Negeri Sembilan mendapatkan perkhidmatan dari pakar,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan dengan Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula di Pantai Batu 1, Port Dickson.

Majlis dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dato Seri Dr.Dzulkefly Ahmad.

Majlis yang berlangsung selama tiga hari ini sudah pasti dapat membawa mesej yang sangat bermakna kepada rakyat iaitu kepentingan menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan dua inisiatif khas berkaitan penyediaan rawatan kepada pesakit.

“Sebanyak RM500,000 adalah bantuan penyediaan tapak bagi rawatan Hemodialisis dan RM500,000 diperuntukkan bagi pembelian peralatan Ortopedik.

“Komitmen Kerajaan Negeri ini membuktikan bahawa usaha penjagaan kesihatan rakyat di Negeri Sembilan adalah secara menyeluruh melalui penyediaan fasiliti kesihatan, sukan, dan termasuk insentif rawatan bagi yang memerlukan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk menjaga kesihatan dengan melakukan saringan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Tanggungjawab menjaga kesihatan kendiri adalah tanggungjawab bersama,” ulas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button