Kluster Influenza meningkat tetapi terkawal

SEREMBAN: Kluster Influenza/Influenza-like-illness di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan ketara namun situasi masih dalam keadaan terkawal. Manakala kes Denggi kekal stabil.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, 10 kluster dilaporkan minggu ini (meningkat berbanding empat kluster minggu lalu) iaitu Seremban tujuh kluster, Kuala Pilah (1), Jelebu (1) dan Rembau (1).
“Pecahan kluster mengikut institusi pula sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak sembilan kluster dan tadika swasta satu kluster.
“Jumlah kes dalam kluster pula 299 kes berbanding 154 kes minggu sebelumnya.
“Majoriti kes melibatkan pelajar sekolah dan institusi pendidikan kerjaan dan swasta. Ia juga meliputi pelajar di sekolah berasrama.
“Majoriti kes dirawat sebagai pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil,” jelas Aminuddin.
Menurut Aminuddin, bagi kluster Influenza dan Influenza-like-illness (ILI) yang dilaporkan, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah melaksanakan langkah kawalan di semua sekolah yang terlibat.
“Antara tindakan yang diambil termasuk kerja-kerja disinfeksi di bilik darjah, asrama dan surau, pemberian pendidikan kesihatan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai kebersihan diri dan etika batuk yang betul dan menjalankan pemantauan pelajar bergejala secara harian di sekolah.
“Pejabat Kesihatan Daerah juga memberi input teknikal kepada pihak sekolah mengenai kebenaran pulang dan cuti kuarantin pelajar bergejala, lokasi kuarantin dan proses pengasingan pelajar yang bergejala,” ulas Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.



