Berita

Aminuddin nafi khabar angin dilantik Menteri Kabinet

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menafikan khabar angin bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri Kabinet oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Saya jumpa Perdana Menteri, beliau tak cakap apa-apa pun.

“Setakat ini tiada sebarang perbincangan berkenaan perkara tersebut dengan Perdana Menteri (lantikan sebagai Menteri Kabinet).

“Saya juga tidak menerima apa-apa mesej daripada Perdana Menteri,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa menjawab pertanyaan wartawan di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Sejak beberapa hari yang lepas, media membuat spekulasi tentang rombakan kabinet yang dijangka diumumkan oleh Anwar pada awal Disember ini.

Ini berikutan akan ada empat kekosongan jawatan Menteri Kabinet selepas 2 Disember ini, apabila tempoh pelantikan kali kedua dan terakhir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Dato’ Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berakhir.

Pada 27 Mei 2025, Rafizi Ramli telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, manakala Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 28 Mei 2025.

Kedua-dua pemimpin Keadilan ini letak jawatan selepas kalah dalam pemilihan parti.

Sementara itu, Presiden UPKO, Ewon Benedick, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 8 November lalu.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button