BeritaMenarik

Aminuddin sambut baik pembangunan Kompleks CIDB di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyambut baik dan menyokong hasrat CIDB untuk membangunkan Kompleks CIDB Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia di Negeri Sembilan.

“Saya yakin tapak yang telah dicadangkan oleh Perbadanan NS (NS Corp) adalah tapak yang ideal mengambil kira lokasinya yang strategik.

“Semoga usaha murni ini dapat direalisasikan demi manfaat Bersama,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pertukaran Memorandum of Understanding (MOU) antara Perbadanan NS dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Seremban.

Aminuddin berkata, Perbadanan NS berperanan untuk merangka dan menyelaras Pelan Induk Pembangunan Ekonomi di Negeri Sembilan.

“Ini termasuklah pelan pembangunan jangka masa panjang khususnya di kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) meliputi daerah Seremban dan Port Dickson.

“Perbadanan NS telah memeterai beberapa usaha sama bagi pembangunan di kawasan MVV 2.0 yang kini dalam peringkat pelaksanaan merangkumi pembangunan perbandaran dan kawasan perindustrian baharu.

“Kita juga menjangkakan beberapa usaha sama lain akan dimeterai dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan pembangunan MVV 2.0 yang meliputi keluasan tanah seluas lebih kurang 39,000 ekar dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Justeru itu, jalinan kerjasama antara Perbadanan NS dan CIDB dilihat mampu meningkatkan kualiti industri pembinaan melalui pembangunan tenaga kerja, peningkatan kualiti, keselamatan dan kesihatan serta penempatan kakitangan dan kontraktor terlatih,” jelas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button