Aminuddin santuni anak yatim dan asnaf pada Majlis Iftar Jamaie Sehati 2026
SEREMBAN: Seramai 350 tetamu hadir memeriahkan Majlis Iftar Jamaie Sehati 2026 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Sehati Negeri Sembilan dalam usaha menyantuni golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim dan asnaf.
Daripada jumlah tersebut, seramai 100 penerima terdiri daripada golongan asnaf, manakala 60 lagi merupakan anak-anak yatim yang diraikan dalam suasana penuh kehangatan dan kebersamaan sempena Ramadan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan barangan dapur kepada 100 penerima sebagai inisiatif membantu meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri.
Hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar Negeri Sembilan bersama isteri yang turut beramah mesra serta menyantuni para tetamu.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Ibrahim Abd Rahman yang bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada para penerima.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh semangat kebajikan dan keprihatinan masyarakat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti sepanjang bulan Ramadan.




