BeritaMenarik

Aminuddin sumbang insentif RM248,500 kepada atlet dan pegawai Para SUKMA

SEREMBAN: Atlet dan pegawai Kontinjen Negeri Sembilan bagi Para SUKMA XXI Sarawak telah menerima sumbangan insentif berjumlah RM248,500 daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

“Saya berasa bangga serta kagum akan pencapaian Kontinjen Negeri Sembilan yang berjaya meraih kedudukan ke lapan dengan pungutan pingat sebanyak 53 pingat (Emas 14, Perak 19 dan Gangsa 20) ketika bertanding di Para SUKMA XXI Sarawak pada September 2024 yang lalu.

“Mengambil kira penat lelah, komitmen tanpa berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi insentif kemenangan kepada atlet dan pegawai dengan jumlah RM248,500 menerusi Majlis Sukan Negeri.

“Tambahan pula, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet yang layak ke peringkat antarabangsa, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberi insentif kepada dua orang atlet yang telah memperbaharui rekod kebangsaan serta seorang atlet Negeri Sembilan yang telah mewakili Malaysia dalam Temasya Sukan Paralimpik Paris.

“Semoga dengan tambahan insentif ini, akan menaikkan semangat atlet-atlet yang lain untuk terus berusaha bagi mencipta kejayaan di Kejohanan Para SUKMA akan datang,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Insentif Hadiah Kemenangan Atlet dan Pegawai Kontinjen Negeri Sembilan bagi Para SUKMA XXI Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi.

Show More

Related Articles

Back to top button