Berita

Aminuddin ziarah tiga buah sekolah, santuni 459 calon SPM 2026

SIKAMAT: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah turun padang bagi menziarah tiga buah sekolah di Sikamat iaitu Sekolah Menengah Dato’ Mohd Redza, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Puteri.

Aminuddin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berkata, aktiviti tersebut dilakukan bagi menyantuni seramai 459 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

“Saya turut berpesan kepada mereka ahawa manfaatkan peluang dan masa yang ada sebaiknya.

“Kejayaan anak-anak akan merubah keadaan diri sendiri dan keluarga menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Saya yakin bahawa dengan kemampuan anak-anak dan kesungguhan usaha sertra komitmen berterusan barisan guru dan ibu bapa akan membuahkan keputusan terbaik,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut menegaskan bahawa tidak perlu tunggu saat akhir untuk berubah.

“Bersungguh-sungguhlah sejak awal.

“Hal ini kerana usaha yang konsisten hari ini akan memudahkan urusan di kemudian hari dan mengelakkan penyesalan di penghujung perjalanan.

“Kejayaan bukan datang secara kebetulan, tetapi hasil disiplin, pengorbanan dan doa yang berterusan,” ujar beliau lagi.

Aktiviti menyantuni pelajar calon SPM ini merupakan rutin tahunan yang dijalankan oleh beliau saban tahun, sama ada di Sikamat mahupun Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button