Berita

Anwar umum strategi menyeluruh hadapi cabaran tenaga

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang semakin meruncing dan dijangka berpanjangan, hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah melindungi kesejahteraan rakyat sambil memastikan setiap langkah yang diambil bersifat berdisiplin dan realistik.

“Keutamaan kita adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah yang diambil.

“Pendekatan utama ketika ini adalah menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas, dengan usaha digerakkan melalui peranan penting PETRONAS serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam tempoh mendatang.

“Dalam masa sama, kerajaan memperkukuh tindakan menampan kenaikan kos melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada golongan pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu,” jelas Anwar.

Menurut Anwar lagi, pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula esok.

“Kerajaan juga mempergiatkan pelaksanaan Ops Tiris bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara,” ujarnya.

Bagi jangka sederhana dan panjang, Anwar berkata usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu.

“Biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Pendekatan tersebut membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu pembangunan sistem baharu secara menyeluruh.

“Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” kata Anwar.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk menghadapi cabaran tersebut secara bersama.

“Insya Allah, kita harungi cabaran ini dengan tekad, disiplin dan kebersamaan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button