“Apa Maknanya Kejayaan Kerajaan Jika Rakyat Masih Tertinggal?” – MB Negeri Sembilan
PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminudddin Harun menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan nelayan yang menjadi antara tulang belakang ekonomi pesisir.
“Kehadiran saya bukan sekadar memenuhi tanggungjawab rasmi tetapi sebagai simbol sokongan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-48 Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson.
“Apa maknanya pembangunan, jika rakyat tidak merasainya? Apa maknanya kejayaan kerajaan jika masih ada rakyat yang tertinggal di belakang?” tegas beliau dalam ucapannya.
Menurutnya, sektor perikanan kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi, persaingan yang semakin sengit serta hasil laut yang tidak menentu. Sehubungan itu, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti elaun sara hidup, subsidi bahan api, bantuan bencana serta kemudahan pinjaman peralatan dan perumahan.
Namun, beliau menekankan bahawa peranan kerajaan tidak terhenti setakat memberi bantuan semata-mata.
“Kerajaan yang bertanggungjawab bukan hanya memberi bantuan tetapi memastikan rakyat akhirnya mampu berdiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pendekatan kerajaan negeri berbeza dengan retorik politik semata-mata sebaliknya memberi fokus kepada pelaksanaan dan hasil yang nyata.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat nelayan di Port Dickson tidak lagi hanya bergelar penangkap ikan, tetapi berkembang sebagai pengusaha produk hiliran, pemain dalam rantaian pemasaran serta usahawan laut yang berjaya.
Menurut Aminuddin, Port Dickson mempunyai potensi besar sebagai hab ekonomi yang menggabungkan sektor perikanan, pelancongan dan industri makanan laut sekali gus membuka peluang lebih luas kepada komuniti nelayan untuk meningkatkan taraf hidup.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kestabilan dan kesatuan dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Pembangunan mesti dirasai rakyat bukan sekadar dilihat di atas kertas,” tambahnya lagi.
Aminuddin turut menyeru masyarakat agar terus menyokong usaha pembangunan yang dilaksanakan serta mempertahankan kestabilan negeri demi masa depan generasi akan datang.
Majlis tersebut turut menyaksikan penghargaan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson atas kejayaan menganjurkan mesyuarat agung kali ke-48 sekali gus membuktikan kekuatan dan ketahanan komuniti nelayan di kawasan berkenaan.
Dalam majlis itu, Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi merasmikan mesyuarat tersebut dan menyatakan harapan agar nelayan di Port Dickson terus maju termasuk membina jenama sendiri serta menembusi pasaran yang lebih luas.



