Berita

Arul minta MBS periksa projek pembinaan dekat paip gas di Sendayan

SEREMBAN: Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar telah mengarahkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memeriksa dakwaan yang tular di media sosial mengenai terdapat kerja-kerja pembinaan projek perumahan baharu berdekatan dengan saluran paip gas di Sendayan.

Arul Kumar berkata, beliau menerima maklumat itu pada petang semalam selepas video berdurasi 28 saat mengenai projek berkenaan tular di media sosial.

“Saya telah meminta MBS dan pemaju untuk semak balik tapak projek berkenaan kerana di situ ada papan tanda saluran paip Gas Malaysia, jadi ia paip gas sambungan ke kawasan perindustrian.

“Saya juga meminta MBS dan pemaju semak semula, adakah kerja pembinaan itu masuk ke dalam tanah rizab Gas Malaysia.

“Kalau tidak masuk kawasan tanah rizab Gas Malaysia, tiada isu dan kerja itu masih di dalam tanah persendirian milik pemaju,” kata Arul Kumar.

Sejak beberapa hari yang lalu, tular di media sosial berkenaan projek perumahan baharu di Sendayan yang dipercayai dilakukan berdekatan saluran paip gas sehingga membimbangkan penduduk setempat.

Penduduk menyatakan kebimbangan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti insiden letupan paip gas di Putra Heights, Selangor.

Show More

Related Articles

Back to top button