Program Welcoming pelancong meriahkan promosi TMNS26 dan TMM26 di Port Dickson

PORT DICKSON: Program Welcoming Pelancong sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS26) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26) telah berjaya dianjurkan di Plaza Tol Mambau (SPDH) serta Terminal Penumpang Antarabangsa Port Dickson sebagai usaha memperkukuh promosi pelancongan negeri dan negara.
Program berkenaan merupakan anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dan Tourism Malaysia bertujuan menyambut serta menghargai kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke Port Dickson.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Exco Pelancongan Kebudayaan, Kesenian, YB Puan Nicole Tan Lee Koon, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Negeri Sembilan, Tuan Hasnor bin Abd Hamid, Yang Dipertua MPPD, Encik Mohd Azizul Hakim bin Zaini, Setiausaha MPPD, Puan Nurhazelin binti Makli, Pegawai Daerah Port Dickson serta Pengarah Bahagian Produksi Tourism Malaysia, Encik Mohd Shahrir bin Mohd Ali.
Turut hadir ialah barisan Ahli Majlis MPPD dan ketua-ketua jabatan berkaitan.
Antara pengisian utama program ialah penyerahan sebanyak 400 beg cenderahati kepada para pelancong yang merangkumi 200 beg di Plaza Tol Mambau dan 200 beg di Terminal Penumpang Antarabangsa Port Dickson.
Beg cenderahati turut diberikan sebagai simbolik TMM2026 yang mengandungi soft toy Maskot TMNS26 serta pelbagai barangan promosi sebagai tanda penghargaan dan sambutan mesra kepada pelancong.
Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi antaranya PLUS Zon Selatan, Jabatan Laut Wilayah Tengah (Port Dickson), Polis Diraja Malaysia Daerah Port Dickson dan Seremban, Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program di kedua-dua lokasi.
Program Welcoming Pelancong ini diharap dapat memperkukuh imej Port Dickson sebagai destinasi pelancongan utama serta menyokong usaha TMNS26 dan TMM26 dalam menarik lebih ramai pelancong untuk menerokai keunikan adat, budaya dan destinasi menarik di Negeri Sembilan.



