SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, atlet Para Sukma Negeri Sembilan akan menerima tambahan insentif sebanyak RM1,000 sekiranya kontingen Negeri Sembilan mencapai kedudukan ketiga keseluruhan kutipan pingat di Temasya Para Sukma ke-21 Sarawak 2024.
“Sasaran pingat emas bagi Kontinjen Para Sukma Negeri Sembilan pada tahun ini adalah untuk melepasi 14 pungutan pingat emas yang perolehi pada edisi Para Sukma 2022 serta menambahbaik daripada kedudukan ke tujuh keseluruhan yang dicapai.
“Sasaran ini ditetapkan berdasarkan prestasi semasa atlet dari penyertaan di sirkit-sirkit kebangsaan pada tahun ini.
“Sebagai contoh, kadar insentif kemenangan untuk kategori individu ialah RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).
“Saya akan tambah RM1,000 untuk setiap pingat sekiranya kita menduduki tangga ketiga keseluruhan kutipan pingat.
“Ini akan menjadikan jumlah insentif sebanyak RM6,000 (emas), RM4,000 (perak) dan RM3,000 (gangsa),” kata Aminuddin dan disambut dengan tepukan gemuruh oleh atlet dan pegawai kontingen Para Sukma Negeri Sembilan di Klana Resort.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sembilan ke Temasya Para Sukma 21 Sarawak 2024.
“Majlis ini adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan Kerajaan Negeri Sembilan kepada Kontinjen Para Sukma, ke Temasya Para Sukma ke-21 Sarawak 2024.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga amat prihatin dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal untuk dihargai dan diiktiraf termasuklah golongan kelainan upaya.
“Ini dapat dibuktikan dengan adanya peruntukan khas Inisiatif Sukan Paralimpik dibawah Belanjawan Kerajaan Negeri sebanyak RM500,000 yang diperuntukkan sejak tahun 2023,” ujar Aminuddin.