BeritaKolumnis

Belanjawan 2024: Bersama Membina Negeri Madani, tiada yang tertinggal

Dr. Jufitri Joha

Pada 01 Disember lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Bersama Membina Negeri Madani’ dengan sembilan teras utama melibatkan jumlah keseluruhan RM555 juta. Ia juga merupakan belanjawan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang berlangsung pada Ogos 2023.

Belanjawan Negeri Sembilan 2024 seperti biasa meneruskan tradisi kecemerlangan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan selama lima tahun lepas dengan mengambil kira Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang ditawarkan semasa kempen PRN yang lepas bagi memastikan setiap janji-janji manifesto tersebut direalisasikan secara berperingkat selama lima tahun untuk manfaat rakyat Negeri Sembilan.

Belanjawan Negeri Sembilan 2024 juga dirangka selari dengan hasrat Belanjawan Nasional 2024 bagi meningkatkan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ia juga dirangka berdasarkan prestasi ekonomi negeri dan hasil kutipan serta pelaburan yang memberangsangkan di mana segala hasil diagihkan secara adil dan menyeluruh kepada segenap lapisan rakyat Negeri Sembilan tanpa ada golongan yang tertinggal.

Ditambah pula Pelan Pengurusan Kewangan Madani yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada September 2023 dan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan belanjawan tahunan negeri disediakan secara mampan, saling menghormati dan ihsan.

Nilai-nilai kemanusiaan inilah juga yang mendasari konsep Malaysia Madani bagi memastikan keadilan dan kemakmuran dirasai dan dikongsi oleh semua rakyat secara saksama tanpa ada yang rasa terpinggir.

Bukan sekadar nilai, slogan dan dasar yang cantik di atas kertas, Belanjawan Negeri Sembilan 2024 telah menterjemahkannya secara inklusif bagi memastikan seluruh rakyat Negeri Sembilan merasai limpahan kemakmuran ekonomi Negeri Sembilan.

Menurut YAB Dato’ Seri Aminuddin, sebanyak RM231.48 juta daripada RM555 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program di bawah sembilan Teras Aspirasi dan Skim Sejahtera Rakyat. Sebanyak RM29.75 juta diperuntukkan untuk Skim Sejahtera Rakyat.

Hampir semua golongan rakyat dipastikan mendapat manfaat tanpa ada golongan yang tercicir, daripada bayi sehinggalah warga emas.

Sebahagian peruntukan merupakan penerusan bantuan yang telah diwujudkan sebelum ini manakala sebahagian lain baru diwujudkan hasil manifesto Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang telah dijanjikan dalam PRN ke-15 yang lepas.

Banyak lagi peruntukan lain yang diagihkan dalam pelbagai teras demi manfaat dan kesejahteraan rakyat termasuk untuk umat Islam, umat bukan Islam dan paling unik masyarakat Orang Asli yang dijadikan sebagai salah satu tema utama dalam Teras Kelapan. Rakyat perlu mengambil peluang ini untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negeri.

Belanjawan Negeri Sembilan 2024 juga memberi penekanan kepada nilai Malaysia Madani dengan peruntukan sebanyak RM0.50 juta untuk Program Pembangunan Karakter Bangsa di bawah Teras Dua Pendidikan dan Modal Insan.

Ini merupakan manifestasi penting bagi membangunkan anak negeri menjadi pemimpin dan warganegara yang mempunyai karakter dan nilai unggul demi kebaikan masa depan negeri dan negara.

Secara kesimpulan, apa yang penting adalah Belanjawan Negeri Sembilan 2024 adalah belanjawan yang inklusif untuk semua atau dalam erti kata lain meminjam tema Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu ‘No one left behind’.

Dr.Jufitri Joha

Perunding Unit Pembangunan Insan (UPI) Yayasan Negeri Sembilan (YNS)

 

Show More

Related Articles

Back to top button