Bersihkan premis dalam tempoh tujuh hari atau tindakan tegas diambil termasuk lelongan mahkamah

SEREMBAN: Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar menasihatkan pemilik premis kediaman atau perniagaan membersihkan premis dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan tegas termasuk proses lelongan mahkamah.
“Memastikan setiap premis atau lot dalam keadaan bersih dan diuruskan dengan baik adalah tanggungjawab setiap pemilik premis tersebut.
“Walaupun premis tersebut tidak diduduki atau mana-mana lot kosong tidak dibina sebarang bangunan, tetapi menjaga kebersihan kawasan tersebut adalah tanggungjawab pemilik tersebut.
“Jika dibiarkan premis atau lot kosong dalam keadaan tidak terurus menyebabkan pelbagai masalah kacau ganggu kepada penduduk setempat seperti masalah anai-anai, bau, gangguan dari binatang berbisa seperti ular dan lain-lain lagi.
“Terdapat beberapa kes dimana rumah sebelah juga rosak teruk disebabkan oleh rumah-rumah terbiar seperti ini,” jelas Arul Kumar.
Menurut Arul Kumar, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengambil beberapa tindakan dengan memasang banner (kain rentang) untuk meminta pemilik mengambil tindakan pembersihan segera.
“Jika dalam masa tujuh hari tindakan pembersihan tidak dilakukan, maka MBS akan mengambil tindakan seterusnya,” ujar beliau.




