Budayakan pemikiran kreatif dan inovatif penjawat awam
SEREMBAN: Penjawat awam perlu dibudayakan dengan pemikiran kreatif dan inovatif bagi mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Justeru itu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Kerajaan Negeri telah mengadakan Minggu Inovasi Negeri Sembilan 2024 dan Program Bicara Inovasi telah menerima penyertaan seramai 253 orang.
“Apa yang lebih menarik, program ini memberi fokus kepada aplikasi penggunaan AI yang merupakan aplikasi terkini dan terkenal di seluruh dunia.
“Pembudayaan ‘inovasi’ seperti ini akan memberikan kesan positif kepada perkhidmatan kerajaan untuk rakyat pada masa akan datang kerana mereka telah didedahkan dengan kemahiran yang selari dengan perubahan teknologi semasa.
“Seperti mana yang selalu sebut oleh Perdana Menteri berkaitan dengan penguasaan Teknologi Digital yang telah menjadi teknologi utama dunia hari ini.
“Saya mahu seluruh kakitangan awam Negeri Sembilan agar mengambil peluang ini dalam memastikan mutu perkhidmatan kerajaan bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan lancar tetapi seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang akan memudahkan rakyat negeri ini,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian pada ucapan perasmian Majlis Apresiasi Hari Kebangsaan dan Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Royale Chulan, Seremban.
Untuk makluman, anugerah inovasi terbahagi kepada dua kategori iaitu Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Anugerah Inovasi Negeri Sembilan (AIN9).
Kedua-dua kategori ini dijadikan sebagai platform kepada penjawat awam untuk mempersembahkan hasil inovasi jabatan mereka.
Bagi Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), 18 penyertaan telah diterima pada tahun ini manakala Anugerah Inovasi Negeri Sembilan (AIN9) telah menerima 13 penyertaan dan yang terbaik akan meneruskan langkah ke pertandingan inovasi di peringkat Kebangsaan.
Persaingan sihat ini seharusnya menjadi program yang ditunggu-tunggu oleh semua penjawat awam sebagai platform untuk menempatkan diri di peringkat kebangsaan,” ujar Aminuddin.