Bukan sahaja ‘clean up day’, tapi ‘clean up’ hati juga
SEREMBAN: ‘World Clean Up Day’ bukan sahaja hanya membersihkan sampah, tetapi perlu ‘clean up’ hati kita juga.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, setiap hari kita ke masjid mendengar ceramah tentang kebersihan.
“Malahan, di dalam Islam juga turut menitikberatkan soal kebersihan, tetapi kita masih tiada rasa tanggungjawab mengenai perkara itu.
“Kita masih buang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
“Jika perkara ini pun tiada kesedaran, bagaimana dengan iman kita.
“Oleh itu, saya seru kepada orang ramai supaya buanglah sampah di tempat yang betul.
“Terutamanya mereka yang merokok, buang puntung rokok tersebut di luar kereta.
“Kenapa tidak dibuang di dalam kereta?
“Lepas minum air, terus campak sahaja keluar kereta.
“Ini menunjukkan kita masih gagal mendidik masyarakat tentang menjaga kebersihan.
“Justeru itu, ia menjadi tanggungjawab kita di sekolah, masjid dan pelbagai lagi untuk sentiasa menekankan soal kebersihan dalam diri masyarakat,” kata Aminuddin.