SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaren mencadangkan sebuah perpustakaan awam dibina di Taman Tuanku Ampuan Najihah.
Gunasekaren berkata, permintaan untuk membina sebuah perpustakaan awam telah dibawa kepada pengetahuan beliau oleh penduduk dari Taman Tuanku Ampuan Najihah dan Taman Bukit Sri Senawang.
“Justeru itu, saya telah mengadakan lawatan ke taman perumahan ini untuk melihat beberapa lokasi atau tapak yang sesuai untuk membina sebuah perpustakaan awam.
“Kemudahan sebuah perpustakaan awam yang dilengkapi dengan kemudahan internet jalur lebar amatlah perlu di kawasan perumahan ini dan yang berdekatan.
“Ini bagi memudahkan golongan pelajar sekolah dan kolej mengulang kaji pelajaran dan membuat assignment secara berkumpulan yang memerlukan kemudahan internet.
“Semestinya pelajar ini menghadapi kesulitan untuk belajar secara berkumpulan kerana faktor saiz rumah yang kecil dan tiada kemudahan internet jalur lebar di kediaman masing-masing,” jelas Gunasekaren.
Gunasekaren berkata, beliau akan membawa cadangan ini kepada Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpusatakaan Awam Negeri Sembilan.
Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Jamilah Said Ali dan Pengerusi DAP Cawangan Taman Tuanku Jaafar, Suria.