BeritaMenarik

CCTV dipasang pantau kegiatan membuang sampah merata-rata

SEREMBAN: Anda sedang diperhatikan! Setiap tindakan anda yang membuang sampah dari tingkap kenderaan, tempat tumpuan dan sampah haram akan diperhatikan melalui pemasangan CCTV di beberapa kawasan tertentu.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, pemasangan CCTV ini tertumpu di persimpangan lampu isyarat, kawasan tumpuan dan ‘hotspot’ sampah haram.

“SWCorp Negeri Sembilan dalam masa terdekat akan memasang 16 CCTV di beberapa kawasan tertentu dan dalam proses perolehan untuk mendapatkan 40 CCTV yang lebih moden dan canggih.

“SWCorp juga akan memasang papan-papan tanda amaran yang di kawasan yang seringkali menjadi tumpuan pembuangan sampah.

“Pemasangan CCTV dan papan tanda amaran ini juga akan diperluaskan di semua daerah di Negeri Sembilan,” kata Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar, pemasangan CCTV ini adalah bertujuan untuk menangkap individu yang membuang sampah merata-rata termasuk pembuangan sampah dari kenderaan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengeluarkan kompaun dan pihak SWCorp akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 71 Akta 672 yang memperuntukkan Denda RM 10,000 hingga RM 100,000 atau penjara enam bulan hingga lima tahun.

“Setiap hukuman yang dikenakan bergantung kepada keberatan kesalahan yang dilakukan.

“Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

“Tindakan penguatkuasaan ini bukan hanya semata-mata untuk menghukum sahaja, tetapi ia boleh dijadikan pengajaran kepada semua,” ujar Arul Kumar.

Tambah Arul Kumar lagi, kerjasama daripada orang awam juga dialu-alukan dengan mengambil gambar atau video terhadap sebarang aktiviti pembuangan sampah dan boleh dihantar semua maklumat tersebut kepada SWCorp dan PBT.

“SWCorp dan Pihak Berkuasa Tempatan akan menyiasat aduan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button