BeritaMenarik

Cha sokong kelas ‘Sifar Peralihan’, wajib kuasai Bahasa Melayu

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin menyokong usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban bagi mencapai sasaran kelas ‘Sifar Peralihan’ menjelang tahun 2027.

Namun kata Cha, kebersamaan dan kerjasama semua pihak termasuk pihak pentadbiran sekolah, guru-guru dan ibu bapa amat diperlukan untuk mencapai sasaran ini.

“Seringkali saya menekankan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan kita, wajib untuk semua anak Malaysia menguasai Bahasa Melayu.

“Murid-murid di SJKC dan SJKT juga perlu diberikan ruang dan peluang untuk menguasai dan memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu. Jadi, usaha daripada semua pihak amat diperlukan.

“Saya adalah alumni SJKC dari Kampung Baru tetapi atas usaha dan pendekatan yang betul, saya tidak menghadapi masalah dengan penggunaan Bahasa Melayu selama ini, termasuk dapat berbahas dengan Bahasa Melayu di dalam Dewan Rakyat (bukan baca teks ucapan),” jelas Cha.

Cha berkata, beliau juga tidak mahu murid atau bekas murid SJKC dan SJKT dilabel sebagai gagal berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Melayu.

“Dengan itu, semua pihak yang terbabit perlu melaksanakan peranan masing-masing dalam mendukung Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan anak Malaysia.

“PPD Seremban bakal mengelolakan satu sesi pemukiman dengan sasaran ‘Sifar Peralihan’ pada tahun 2027.

“Saya bersetuju untuk menaja sepenuhnya sesi pemukiman yang bakal diadakan di Auditorium Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Sendayan,” ujar Cha lagi.

Cha berkata demikian kepada Negeri Kita selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Encik Norazam.

Pelbagai perkara yang dibincangkan termasuk isu pendidikan dan sekolah di Daerah Seremban, khususnya di Parlimen Rasah.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button