Berita

CHA: Tingkatkan subsidi minyak masak, kurangkan beban rakyat

Harga minyak masak naik mendadak sehingga mencecah RM45 untuk botol lima kilogram, bagi jenama seperti Pisau dan Helang yang tidak dikawal harga pasaran runcitnya kerana ia dikategorikan sebagai ‘minyak masak campuran’.

Hanya ‘minyak masak tulen’ yang dikawal harga runcit pada paras RM30 sebotol. Ini hujah yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Suka saya menegaskan bahawa harga RM30 sebotol untuk lima kilogram juga dianggap tinggi, dan telah melonjak lebih 60 peratus berbanding pada tahun 2019 ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Selain aspek harga, bekalan minyak juga tidak menentukan, di mana bukan semua pasaraya atau pasar mini mempunyai bekalan yang mencukupi.

Saya telah meninjau beberapa pasaraya di Seremban untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Minyak masak adalah barangan keperluan asas, yang mana tiada alternatif bahan lain untuk menggantikan minyak masak.

Kos sara hidup meningkat

Negara kita adalah pengeluar minyak sawit yang utama, tetapi pengguna tempatan pula menghadapi masalah bekalan dan kenaikan harga yang sangat membebankan.

Ramai yang terjejas dengan masalah yang berlaku pada ketika ini. Ia menyebabkan kos sara hidup meningkat dan ramai merasai bebannya.

Ketika sidang Parlimen yang lepas, saya pernah mencadangkan kepada kerajaan khasnya Kementerian Kewangan untuk meningkatkan subsidi.

Logiknya mudah, apabila harga sawit sedunia meningkat, pendapatan kita dari segi ekspot akan turut melonjak. Jadi, pendapatan tambahan yang diperolehi wajar digunakan untuk subsidi supaya rakyat tidak terkesan.

Saya menggesa kerajaan, khasnya Kementerian Kewangan menggandakan jumlah subsidi yang dikhususkan untuk minyak masak, agar beban kos sara hidup dapat dikurangkan.

YB Cha Kee Chin,

Ahli Parlimen Rasah,

Jurucakap DAP untuk KPDNHEP,

Anggota Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan.

16 Mei 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button