Berita

Dana IMAN9 dilancar, perkukuh budaya berinfaq di Negeri Sembilan

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan terus komited memperkasa peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah menerusi pelancaran Dana Infaq Masjid Negeri Sembilan (Dana IMAN9) yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bersempena NS Fest 2025 di Dataran Nilai, di sini.

Pelancaran Dana IMAN9 itu menjadi simbol komitmen bersama dalam menyemai budaya memberi secara berterusan bagi menyokong pembangunan masjid serta kesejahteraan umat Islam di negeri ini.

Aminuddin berkata, sehingga kini sebanyak 314 buah masjid berdaftar di seluruh Negeri Sembilan memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan setempat.

Menurut beliau, penubuhan Dana IMAN9 merupakan inisiatif pelengkap kepada usaha kerajaan negeri bagi mempertingkatkan kutipan infaq secara lebih tersusun, sistematik dan mampan, sekali gus memastikan rumah-rumah Allah dapat dimakmurkan secara berterusan.

“Dana ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan masyarakat dalam amalan berinfaq serta memperkukuh peranan masjid sebagai institusi yang menyatukan ummah,” katanya.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan sesi Bual Bicara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bertajuk ‘Bahagia Dengan Memberi’ yang menampilkan penceramah terkenal, Dato’ Dr. Badli Shah Alauddin.

Dalam program sama, satu majlis pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara MAINS dan Agrobank turut diadakan sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam pengurusan dan pembangunan dana berkaitan kebajikan ummah.

Kerajaan negeri berharap pelaksanaan Dana IMAN9 dapat menyuburkan budaya berinfaq dalam kalangan masyarakat serta menjadi pemacu kepada pembangunan masjid yang lebih progresif demi kesejahteraan ummah di Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button