DUN Negeri Sembilan lulus usul pemilihan Jufitri dan Wu sebagai Ahli Dewan Negara

SEREMBAN: Persidangan Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 telah meluluskan usul bagi memilih Dr.Jufitri Joha (Keadilan) dan Dato’ Wu Him Ven (DAP) sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun membawa usul itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Dato’ Seri Jalaluddin Alias (BN) menyokong pencalonan Jufitri, manakala ADUN Bahau, Teo Kok Seong (PH) menyokong pencalonan Wu.
Aminuddin berkata, masing-masing menggantikan Senator Dato’ A.Kesavadas Nair, yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 20 April dan Dato’ Dr.Ahmad Azam Hamzah, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini.
Jufitri, 46, merupakan ketua cabang PKR Rembau dan pernah memegang jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia pada 2018-2022, selain aktif dalam Federasi Kebangsaan Pekerja Belia bagi mempromosikan kerja belia profesional serta membantu menubuhkan Majlis Belia Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengangkat suara dan kepimpinan belia golongan tersebut.
Wu, 61, pula merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang aktif dalam perkhidmatan sosial antaranya terlibat dalam program demokrasi belia di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada 2003-2022 serta menyelaras bantuan banjir DAP di Pantai Timur pada 2014 dan 2021.