SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebulat suara menerima usul mengecam pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Abdel Salam Ahmad Haniyeh di Tehran.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat – PH) yang membentangkan usul tersebut berkata, Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah ini untuk mengecam perbuatan rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
“Tindakan membunuh pemimpin Hamas di Tehran akan mencetuskan ‘regional war’ yang akan mengakibatkan peperangan yang lebih besar kerana melibatkan negara yang tidak berkaitan dalam konflik di tanah Palestin.
“Justeru itu, DUN Negeri Sembilan sebulat suara menerima usul ini dan bermuafakat menzahirkan sokongan penuh kepada usaha membebaskan Palestin dengan memberikan hak sepenuhnya kepada rakyat Palestin untuk berdiri secara bebas dalam tanah Palestin.
“Peperangan wajib dihentikan. Dunia hari ini tidak boleh menerima sebarang usaha penjajahan yang sedang dilakukan oleh Rejim Zionis, sedangkan sesebuah negara berdaulat telah diberikan hak mengikut peraturan yang ditetapkan dan disepakati secara global.
“Negeri Sembilan bersolidariti dengan Palestin,” ujar Aminuddin di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 hari ini.
Sebelum ini seluruh dunia dikejutkan dengan pembunuhan terancang Ismail Haniyeh pada 31 Julai lalu di kediaman beliau ketika menghadiri Majlis Angkat Sumpah Presiden Iran yang baharu.
Ini merupakan satu lagi jenayah perang oleh rejim Zionis yang dilakukan tanpa perikemanusiaan sejak 7 Oktober 2023.
Kekejaman ini telah mengorbankan lebih 40,000 rakyat Palestin dan kebanyakkan adalah dari kalangan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa.