Berita

Eksesais Perisai Bandar 2026 perkukuh kesiapsiagaan keselamatan di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Eksesais Perisai Bandar 2026 telah dilaksanakan di Kem Sikamat, Seremban hari ini dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan sebagai usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keselamatan awam di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata eksesais ini penting bagi memastikan semua agensi keselamatan sentiasa bersedia serta mampu bertindak dengan baik sekiranya berlaku sebarang ancaman atau insiden keselamatan di negeri ini.

Eksesais berkenaan melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi 1 Briged bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dengan penyertaan seramai 580 peserta daripada pelbagai agensi berkaitan.

“Kerjasama antara semua agensi terlibat amat penting bagi memastikan pengurusan krisis, tindakan kecemasan dan kawalan keselamatan awam dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam khususnya ancaman melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang semakin mencabar dan memerlukan tindakan bersama semua agensi penguat kuasa.

“Kita boleh merujuk kepada insiden di Desa Palma, Nilai pada 22 Disember 2025 yang melibatkan PATI sebagai suspek utama dengan kejadian letupan Improvised Explosive Device (IED) di kawasan awam serta penemuan bahan letupan di kediaman suspek sebagai contoh keperluan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kerjasama antara agensi keselamatan” tambahnya.

Selain itu, konsep Whole of Government and Whole of Society (WOGOS) turut dilaksanakan melalui penglibatan hospital swasta seperti KPJ Healthcare serta pertubuhan sukarela termasuk St John Ambulans Malaysia Negeri Sembilan bagi membantu pengurusan perubatan dan kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Show More

Related Articles

Back to top button