BeritaMenarik

Eksploitasi seksual murid: Jangan ‘sweep under the carpet’

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan akan memastikan ekosistem sekolah selamat dan pelajar dilindungi daripada eksploitasi seksual.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, beliau menekankan guru ialah orang pertama yang dapat kenal pasti apabila berlakunya perubahan fisiologi dan tingkah laku pada murid.

“Guru-guru mesti melaporkan kepada pihak autoriti jika kes sedemikian berlaku.

“Mereka tidak boleh ‘sweep under the carpet’.

“Sesungguhnya, di peringkat KPM kita mempunyai satu agenda besar iaitu sekolah selamat dan segmen penting yang terkait rapat dengan perlindungan kanak-kanak itu sendiri,” ujarnya.

Fadhlina berkata, bagi memastikan inisiatif ini mengikut lunas undang-undang, sebuah Konvensyen Kebangsaan Perlindungan Murid daripada Eksploitasi Seksual akan dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri pada 16 Mac ini di Shah Alam, Selangor.

“Sebab itulah konvensyen pada hari Sabtu ini cukup signifikan.

“Terdapat tiga akta penting yang berkaitan, iaitu Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak dan Akta Saksi Kanak-kanak.

“Sebab itu saya fikir Kementerian Pendidikan harus menerajui inisiatif ini dalam konteks memastikan ekosistem Sekolah Selamat itu.

“Semua ini memerlukan sokongan ekosistem yang kuat dari segi undang-undang termasuklah komitmen untuk kita memberikan kesedaran kepada guru dan anak murid kita khususnya,” jelas Fadhlina.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button