SEREMBAN: Pembangunan bandar pintar MVV City akan mentransformasikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang strategik untuk menarik minat para pelabur antarabangsa dan tempatan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, fasa pertama pembangunan MVV City meliputi kawasan seluas 952 hektar dengan unjuran Nilai Pertumbuhan Kasar (Gross Development Value-GDV) sebanyak RM15 bilion.
MVV City akan dibangunkan bersama oleh Matrix Concepts dan NS Corporation melibatkan keluasan keseluruhan 3,560 hektar.
“Projek MVV City ini merangkumi beberapa sektor pembangunan termasuk perumahan, komersial dan industri, serta pusat pendidikan dan inovasi.
“Lokasi strategik MVV 2.0 bakal mewujudkan sistem rangkaian infrastruktur yang pintar, selamat dan mampan.
“MVV City berdekatan dengan lebuh raya utama termasuk KLIA dan potensi bagi laluan pengangkutan moden seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), MVV 2.0 disasarkan menjadi metropolis bertaraf dunia.
“HSR dilihat dapat menjadi pemangkin transformasi sosio-ekonomi dengan menghubungkan kita semua kepada pasaran serantau dan global, mewujudkan kelompok ekonomi yang dinamik serta membuka peluang baharu untuk perdagangan dan pelaburan,” kata Aminuddin.
Aminuddin menambah, MVV City boleh diiktiraf sebagai bandar raya bersepadu pertama dalam kawasan MVV 2.0 dengan skala yang besar.
“Gabungan amalan lestari beserta reka bentuk inovatif, bandar ini bakal menyatukan infrastruktur canggih dan teknologi pintar untuk meningkatkan kehidupan seharian.
“Sebagai ekosistem yang berkembang pesat, MVV City bakal menjadi pusat kepada zon industri berteknologi tinggi, kawasan perumahan premium, pusat perniagaan yang dinamik, dan institusi pendidikan bertaraf dunia, khususnya institusi pengajian tinggi yang akan membentuk pemimpin masa depan dengan inovasi dan teknologi yang moden.
“Tumpuan Matrix Concepts terhadap pembangunan industri yang kukuh, pembangunan bercampur, dan kediaman memastikan bahawa MVV City bukan sahaja akan merancakkan aktiviti pelaburan, tetapi juga mewujudkan peluang yang saksama untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.
“Saya yakin bahawa rekod prestasi cemerlang Matrix yang terbukti melalui kejayaan Bandar Sri Sendayan, akan menjadi asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan kejayaan MVV City,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata, MVV 2.0 merupakan pemangkin strategik bagi transformasi Negeri Sembilan kepada status negeri dengan ekonomi berpendapatan tinggi.
“Dengan mempromosikan penambahbaikan rantaian nilai dan menggalakkan pertumbuhan industri yang inklusif, MVV 2.0 dijangka akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkualiti dalam sektor-sektor seperti pembuatan, logistik, dan industri hijau,” katanya lagi di Majlis Pecah Tanah MVV City.