SEREMBAN: Terdapat beberapa produk pelancongan yang berpotensi dipromosikan di kawasan Gemencheh.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, YB Nicole Tan Lee Koon (PH-Bukit Kepayang) berkata, antaranya adalah Tugu Peringatan Sungai Kelamah, Bukit Nior, Bukit Tok Saih dan Estet Ikan Sungai Jernih.
“Lokasi ini juga turut dipromosikan dalam peta pelancongan atau fun map daerah Tampin.
“Selain itu juga, penganjuran acara Tampin MTB Jamboree Gemencheh 2024 merupakan acara tahunan bagi daerah Tampin yang dimasukkan dalam kalendar acara pelancongan (CoE) Negeri Sembilan.
“Gemencheh juga popular dengan tanaman maman di mana ianya boleh menjadi lokasi tarikan pelancong.
“Sebagai contoh, ianya boleh dipakejkan menjadi lawatan ke ladang dan demonstrasi masakan rendang maman,” kata beliau.
Menurut Nicole Tan lagi, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) bersama-sama PDT dan PBT daerah Tampin akan turun padang bagi melihat potensi kawasan pelancongan yang sedia ada untuk dinaik taraf selanjutnya dipromosikan.
Nicole Tan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Gemencheh, YB Suhaimizan Bizar (BN) pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15.