PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju harga jualan runcit beras putih import (BPI) diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang.
“Bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, Kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.
“Justeru, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.
“Kerajaan turut bersetuju agar semua Kontrak Kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI.
“Sehubungan itu, melalui kaedah ini, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April 2024,” kata Mohamad.
Menurut Mohamad, pelbagai langkah intervensi telah dilaksanakan oleh KPKM bagi menangani isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh BERNAS pada 1 September 2023.
“Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran.
“Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program,” ujar Mohamad.
Mohamad berkata, keputusan ini telah dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Selasa.