Hari Keputeraan Tuanku Muhriz penuh kemeriahan

KUALA PILAH: Hari Keputeraan ke‑78 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di‑Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir disambut dengan penuh meriah dengan dihadiri rakyat serta menerima penghormatan daripada pemimpin negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan mengucapkan tahniah kepada Tuanku Muhriz sempena ulang tahun keputeraan baginda.
“Merafak sembah dan mempersembahkan setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena sambutan Hari Keputeraan ke-78, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di‑Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
Mendoakan semoga Duli Tuanku dan Tunku Ampuan Besar bersama seluruh kerabat diraja sentiasa dikurnia keafiatan, kesejahteraan, lindungan Allah SWT, dipanjangkan usia dan terus memayungi negeri dengan kebijaksanaan.
Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku. Daulat Tuanku,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan tahniah serta doa agar Tuanku Muhriz terus dipanjangkan umur, dikurniakan kesihatan dan keberkatan sepanjang pemerintahan baginda melalui hantaran Instagram.
“Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Yang di‑Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Dirgahayu Tuanku,” katanya.
Sempena hari keputeraan ini, Tuanku Muhriz menganugerahkan darjah kebesaran, bintang, dan pingat kepada 532 penerima terpilih yang memberi sumbangan cemerlang kepada negeri. Istiadat sesi pertama berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti manakala sesi kedua dan ketiga dijadualkan pada 20 dan 27 Januari.
Suasana majlis dipenuhi semangat kegembiraan rakyat yang hadir, menzahirkan rasa hormat dan kasih terhadap Tuanku.



