Berita

Aircond 16°C Tak Sejukkan Lebih Cepat, Sebaliknya Bebankan Tenaga

Penetapan suhu penghawa dingin pada 16°C tidak akan menyejukkan bilik dengan lebih cepat malah hanya meningkatkan penggunaan tenaga secara tidak perlu.

Public Health Malaysia dalam satu hantaran di media sosial berkata terdapat salah faham dalam kalangan pengguna yang beranggapan bahawa menetapkan suhu paling rendah akan mempercepatkan proses penyejukan ruang.

“Hakikatnya, tindakan itu hanya memaksa pemampat (compressor) bekerja lebih keras dan berterusan untuk mencapai suhu yang sukar dicapai sekali gus meningkatkan penggunaan elektrik”

“Penetapan suhu standard pada 24°C oleh kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga adalah berdasarkan beberapa faktor penting,” katanya.

Menurutnya, konsep perbezaan suhu di mana semakin besar jurang antara suhu luar dan suhu yang ditetapkan di dalam bangunan, semakin tinggi tenaga diperlukan untuk menyejukkan ruang tersebut.

Justeru, 24°C dianggap sebagai titik keseimbangan terbaik antara keselesaan dan kecekapan tenaga.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar Malaysia, setiap peningkatan suhu sebanyak 1°C mampu mengurangkan penggunaan elektrik sekitar tujuh peratus.

Ini menunjukkan potensi penjimatan besar sekiranya pengguna mengamalkan tetapan suhu yang lebih munasabah.

“Dari sudut keselesaan pula, suhu 24°C dalam ruang berhawa dingin yang kurang kelembapan adalah sesuai dan selesa bagi kebanyakan individu khususnya dalam persekitaran pejabat,” tambahnya.

Sehubungan itu, Public Health Malaysia menegaskan bahawa langkah menetapkan suhu pada 24°C bukan bertujuan menyusahkan pengguna sebaliknya sebagai usaha mengelakkan pembaziran tenaga dan mengurangkan beban kos serta penggunaan elektrik negara.

Show More

Related Articles

Back to top button