‘Ia hanya tinggal kenangan,’ Kediaman Keluarga Gunasekaran Hangus Dijilat Api
SEREMBAN: “Rumah lama itu banyak kenangan. Kami adik-beradik dahulu tinggal bersama namun selepas saya membeli rumah lain, adik pula tinggal di sini bersama keluarganya.”
Demikian luahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran apabila rumah milik adiknya musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Rahang di sini malam tadi.
Menurut beliau, rumah berkenaan dibeli pada tahun 1990 dan pernah menjadi kediaman bersama mendiang ibu bapa serta tiga adik-beradik lain.
“Saya anggarkan kerugian lebih kurang RM40,000 kerana banyak barang berharga termasuk peralatan katering, barangan elektrik dan barangan lama di rumah itu tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, buat masa ini adiknya tinggal sementara di rumah anak perempuannya di Senawang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Setakat ini, beberapa wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta barisan Exco kerajaan negeri turut hadir meninjau lokasi kejadian dan menzahirkan simpati terhadap mangsa.
Sementara itu, Komander Operasi, Helmi Mohd Fauzi berkata, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dengan bantuan BBP Ampangan telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 30 x 50 kaki yang terbakar hampir 95 peratus. Operasi pemadaman selesai pada jam 11.52 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.




