YB Kita

Isu saliran longkang di Kampung Bahagia Jiboi bakal selesai

AMPANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman telah mengadakan satu sesi libat urus bersama penduduk Kampung Bahagia Jiboi berhubung pembangunan naik taraf longkang monsun (monsoon drain).

Tengku Zamrah berkata, ini satu usaha penting bagi mengatasi masalah saliran yang telah sekian lama membelenggu kehidupan penduduk.

“Isu longkang penduduk yang bertakung dan tidak dapat mengalir ke sistem longkang monsun utama telah berlarutan sejak puluhan tahun.

“Masalah ini bukan sahaja menyebabkan kesulitan harian, malah menjadi antara punca utama kepada insiden banjir kilat di kawasan sekitar.

“Perkara ini telah dibawa secara berterusan oleh Pengerusi JPKK Kampung Bahagia Jiboi ke dalam Mesyuarat Pembangunan Peringkat DUN Ampangan sejak tahun 2023/2024.

“Melihat kepada keperluan yang mendesak, saya selaku ADUN Ampangan telah mengangkat isu ini ke peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dipertimbangkan di bawah peruntukan infrastruktur saliran awam.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama semua pihak dan perhatian daripada KPKT, pembangunan ini kini bakal dilaksanakan menerusi peruntukan sebanyak RM900,000 di bawah KPKT, sekali gus menjadi satu kejayaan bersama rakyat dan kerajaan dalam membela kepentingan komuniti,” jelas Tengku Zamrah.

Tengku Zamrah yang juga Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan berkata, sesi libat urus ini turut disertai oleh Pegawai Kejuruteraan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), wakil syarikat kontraktor, serta ahli Jawatankuasa JPKK Kampung Bahagia Jiboi, yang turut memberikan penerangan teknikal kepada penduduk.

Antara skop penting pembangunan ini ialah melancarkan aliran air dari longkang-longkang sedia ada ke sistem longkang monsun utama, sekali gus menyelesaikan masalah saliran yang telah berlarutan sekian lama.

Turut diadakan ialah sesi soal jawab bersama penduduk, yang menjadi platform untuk mendengar secara terus suara dan kebimbangan komuniti.

“Pandangan yang dikemukakan akan diteliti dan diambil kira demi pelaksanaan yang lebih berkesan.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua penduduk Kampung Bahagia Jiboi yang hadir dan terima kasih juga kepada Pengerusi dan Jawatankuasa JPKK Kampung Bahagia Jiboi atas usaha mengumpulkan penduduk serta membawa isu ini secara konsisten ke peringkat DUN.

“Pembangunan ini bukan hanya sekadar naik taraf fizikal, tetapi melambangkan kerjasama erat antara pemimpin tempatan, agensi pelaksana dan rakyat, dalam membina Ampangan yang lebih selamat, selesa dan lestari.

“Saya akan terus memastikan suara rakyat Ampangan diangkat dan diberi keutamaan dalam setiap perancangan dan pembangunan,” ujar Tengku Zamrah.

Show More

Related Articles

Back to top button