Jalaluddin minta ADUN Paroi tarik balik perkataan ‘gatal nak jadi YB’

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN) diminta menarik semula ungkapan ‘gatal nak jadi YB’ yang mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli dewan.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang) memohon agar Kamarol Ridzuan menarik semula ungkapan tersebut kerana didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat DUN, Perkara 21(b) semasa sesi ucapan penangguhan dalam Persidangan Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15.
“Perkara 21(b) menyatakan setiap ahli dewan dilarang menggunakan perkataan yang boleh mendatangkan rasa sakit hati dan membuat sebarang perkara yang tidak berkaitan terhadap ahli lain.
“Saya minta kepada ADUN Paroi untuk tarik balik perkataan ‘gatal nak jadi YB’.
“Pemahaman saya sebagai ahli Exco, perkara itu ditujukan kepada Penyelaras DUN Paroi (Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman) dan digunakan secara kebetulan kepada Yang DiPertua DUN.
“Kerana perkara ini tidak seharusnya dibenarkan digunakan dan dibiarkan berlanjutan ketika Persidangan DUN.
“Saya memohon peraturan 21(5) diguna pakai dan saya mohon ADUN menarik balik perkataan berkenaan,” kata Jalaluddin.
Kamarol Ridzuan kemudiannya menjelaskan bahawa beliau telah menarik balik perkataan itu ketika sesi penggulungan berlangsung.
Jalaluddin menegaskan dalam Persidangan DUN, perkara-perkara sedemikian rupa tidak boleh biarkan berlaku.
“Dalam setiap persidangan DUN kita berbeza pandangan, tetapi saya juga berpegang pada pandangan YB ADUN Paroi supaya semua perkara yang berlainan pandangan menjurus kepada kekuatan dan kesejahteraan rakyat,” ujar Jalaluddin.
Kekecohan ini berpunca daripada ucapan penangguhan Kamarol Ridzuan yang diselitkan dengan pantun sindiran, termasuk rangkap berbunyi ‘Kalau gatal nak jadi YB, elok bertanding pilihan raya depan’.
Yang DiPertua DUN, Dato’ MK Ibrahim kemudian menegur dan meminta perkataan itu ditarik balik kerana berunsur sindiran dan dianggap tidak wajar disebut dalam dewan.