
JELEBU: Seramai 119 orang Pengerusi dan Setiausaha JPKK, termasuk mantan dalam Parlimen Jelebu yang pernah menabur bakti, diraikan dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi dan Setiausaha JPKK Parlimen Jelebu (Sesi 2025-2027).
Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, watikah ini adalah cerminan amanah besar untuk khidmat kepada masyarakat, menjalin kepercayaan rakyat dan memastikan setiap dasar kerajaan sampai ke pintu rumah rakyat di setiap pelusuk kampung.
“Sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Jelebu, saya amat menghargai sumbangan dan pengorbanan semua JPKK yang menjadi tulang belakang pentadbiran pusat dan negeri.
“Justeru, saya akan terus memperjuangkan penambahbaikan hak dan keupayaan institusi JPKK di peringkat negeri mahupun persekutuan, dari semasa ke semasa.
“Ia sebagai tanda pengiktirafan tanpa sempadan daripada saya untuk semua kepimpinan JPKK.
“Kepada penerima watikah, pikullah amanah besar ini dengan sepenuh keikhlasan tanpa berbicara soal keuntungan peribadi,” kata Jalaluddin yang juga ADUN Pertang.
Jalaluddin turut merakamkan penghargaan kepada mantan-mantan JPKK Parlimen Jelebu.
“Terima kasih atas keikhlasan dan semangat kalian membangunkan komuniti dengan kasih dan amanah selama ini.
“Teruslah berkhidmat dengan hati yang bersih dan jiwa yang besar.
“Bersama kita bangunkan Jelebu yang makmur, Negeri Sembilan yang beradat dan Malaysia yang berkat,” ujar Jalaluddin.



